PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah mengenakan kompaun RM100 terhadap seorang kontraktor dalam isu membabitkan dakwaan Ahli Parlimen pembangkang mencuri air dari pili bomba.
Bahagian Pengurusan Korporat JBPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan susulan siasatan, kompaun dikeluarkan terhadap pelaku berdasarkan Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu menyalahgunakan pili bomba.
Menurut JBPM, status bagi kes itu selesai di luar mahkamah, yang mana pihak pelaku iaitu kontraktor, Tuan Salehudin Tuan Mat, mengaku salah dan membuat bayaran kompaun RM100, pada 8 Mei lalu.
“Mengikut Akta 341 sesiapa yang menutup, mengepung, atau menyembunyikan mana-mana pili bomba hingga menjadikan tempatnya sukar dipastikan, atau mengganggu mana-mana pili bomba, atau menggunakan pili bomba selain tujuan menentang kebakaran, adalah melakukan suatu kesalahan.
“JBPM juga menegaskan bahawa Seksyen 23 (1) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) menerangkan Notis bagi kerja yang menjejaskan pili bomba.
“Tiada seorang pun selain pihak berkuasa air boleh melakukan apa-apa kerja yang menjejaskan pili bomba atau aliran air kepadanya melainkan telah memberi notis bertulis berkaitan kerja yang akan dilakukan kepada Pengarah Negeri sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum kerja dimulakan,” katanya.
Kata kenyataan itu, dalam keadaan kecemasan, kerja-kerja boleh dilaksanakan terlebih dahulu dan notis hendaklah dikemukakan dengan segera kepada Pengarah Negeri berdasarkan Seksyen 24 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).
“Iaitu kewajipan Pihak Berkuasa Air memberitahu Pengarah Negeri tentang apa-apa tindakan yang menjejaskan aliran air ke pili bomba secara bertulis seberapa segera selepas keputusan dibuat.
“Justeru, apa-apa kerja-kerja yang menjejaskan aliran air ke pili bomba haruslah mendapat kelulusan dan persetujuan Pengarah Negeri dan dikemukakan secara bertulis.
“Ini bagi memastikan operasi pemadaman tidak terjejas sekiranya berlaku sesuatu kebakaran. Penyalahgunaan pili bomba boleh mengakibatkan kekurangan isipadu dan tekanan air,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff didakwa menyediakan penghantaran air percuma di kawasan Parlimen berkenaan dengan menyediakan lori tangki besar dan pam penyedut dengan mengambil air dari pili bomba sebelum dihantar ke kampung terjejas.
Bagaimanapun, Siti Zailah menafikan mencuri air dari pili bomba, sebaliknya mendakwa tindakannya mendapat kebenaran pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan JBPM Kelantan.
Susulan itu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan sepenuhnya kepada JBPM untuk membuat siasatan berhubung dakwaan itu.